Halaman

26 February 2010

Belia Dipantau

Oleh: Esah Abdullah

Kerajaan negeri mensasarkan empat golongan yang akan mendapat perhatian dan dipantau di bawah Program Memperkasakan Remaja (PMR) dalam usaha merintis arah tuju yang baik bagi mengekang gejala tidak sihat generasi akan datang.

“Golongan belia bekerja, belia bermasalah, remaja di sekolah emnengah dan remaja di Institusi-institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan golongan yang perlu dibantu dan diberi perhatian,” kata Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said pada majlis Seminar Memperkasakan Program Belia Negeri Terengganu di Terengganu Endurance Resort (TER) Kuala Ibai, Kuala Terengganu hari ini (21 Februari).

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Terengganu, Encik Ahmed Daud; Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman (UDM) Dr. Ramle Abdullah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu, Encik Saiful Dato’ Baharuddin.

Katanya, kerajaan menyediakan peruntukan besar khusus untuk memperkasakan program belia di negeri ini dengan meletakkan harapan golongan ini menjadi pelapis negeri dan negara pada masa akan datang.

Katanya, Menteri Besar mengumumkan bajet RM30 juta untuk melaksanakan pelbagai program bagi memperkasakan golongan beliau kerana menyedari maju mundurnya sesebuah negara itu terletak di tangan belia.

Beberapa program yang dilaksanakan seperti rakan muda, rakan rekreasi, rakan waja diri dan rakan masyarakat telah memberi kesan terhadap pembangunan golongan remaja dan ianya akan diteruskan tahun ini.

“Disamping usaha kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan perlu bersama tampil memberi kerjasma bagi merialisasikan hasrat membina kekuatan serta pembangunan golongan muda,” katanya.

Dalam seminar yang berlangsung, dua tokoh diundang untuk membentang kertas kerja masing-masing iaitu Ketua Polis Terengganu, SAC 1, Dato’ Mohd Shukri Dahlan dan Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UDM kampus Kusza, Dr. Ramle Abdullah.

TEGANUKITA