Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra.
Tindak tanduk Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam, membuktikan beliau tidak layak berada dalam pakatan pembangkang yang disertai Pas, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Timbalan Perdana Menteri menegaskan jika pemimpin Pas mahu berpegang kepada ajaran Islam sebenar, mereka tidak sepatutnya bersengkokol lagi dengan Anwar kerana Ketua Pembangkang itu secara terang-terang melakukan banyak perkara menyalahi hukum syarak.
“Anwar tidak patut berada dalam pakatan pembangkang kerana beliau tidak sefahaman dengan Pas. Banyak tindakan beliau bertentangan dengan ajaran Islam dan hukum yang ditetapkan oleh Tuhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, Wakaf Tembesu, petang ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, antara tindak tanduk Anwar yang bertentangan dengan ajaran Islam ialah sokongan beliau terhadap negara Israel dan cadangan supaya undang-undang berkaitan liwat dihapuskan.
Pada masa yang sama, Tan Sri Muhyiddin turut mempertahankan kenyataan Menteri Besar Terengganu bahawa Pas merupakan ajaran sesat kerana tindak tanduk pemimpin parti itu juga menyeleweng dari ajaran Islam.
Beliau berkata, jika pemimpin Pas gagal menasihatkan tindak tanduk Anwar dan bersetuju dengan segala tindakannya, tidak syak lagi parti itu juga sesat dan menyeleweng daripada perjuangan agama Islam.
