Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri (LPPN) menyasarkan 10,000 ekor kambing membabitkan 250 orang penternak mampu dibekalkan bagi keperluan tempatan menjelang 2015.
Pengarah (LPP) negeri, Haji Shamsuddin Mat Rani berkata, sehingga ini, terdapat 3,500 kambing dengan 144 penternak berjaya di bawah bimbingan LPP.
“Sasaran kita sekarang adalah untuk mengubah cara ternakan tradisional yang diamalkan sekarang kepada teknologi baru yang diperkenalkan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Latihan Terus Penternak Kambing Boer (Modul-1) di Wisma Peladang, Kuala Terengganu hari ini.
Katanya, sejumlah RM400,000 peruntukan disediakan di bawah Tabung Pembangunan Usahawan untuk membantu mereka meluaskan ladang ternakan dengan membuat pinjaman di bawah tabung yang disediakan.
Menurutnya penternak boleh mendapatkan pinjaman sehingga RM50,000 untuk membina bangsal (RM20,000), kambing baka antara 10 hingga 20 ekor serta pemakanan (RM30,000).
Katanya, setiap penerima bantuan atau penternak persendirian digalakkan mengikuti kursus yang dianjurkan jabatan bagi mendalami cara penjagaan kambing yang betul termasuk jenis makanan, ubat-ubatan di samping pengawasan rapi bagi mengenal penyakit.
“Penjagaan dan pengawasan yang sempurna akan meningkatkan pembiakan dan pada kebiasaan kambing betina mampu melahirkan tiga kali dalam tempoh dua tahun serta 30 peratus daripadanya kemungkinan kembar,” katanya.
Katanya, kambing biasa mampu menghasilkan daging sekitar 20 kilogram (kg) manakala baka Boer mampu mencecah 40 hingga 70 kg seekor.
“Kita ingin lihat penternak kambing di negeri ini mendapat pulangan yang lumayan dengan mengamalkan cara pemeliharaan dan penjagaan yang betul dan sentiasa berhubung dengan jabatan jika ternakan menghadapi masalah,” katanya.