Halaman

26 February 2012

LTdL 2012 : TSG cari rentak buru kedudukan terbaik

Aksi Mohd Harish Salleh (TSG) pada peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka.

Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh masih lagi mencari rentak terbaik apabila terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-16 pada peringkat kedua dari Putrajaya ke Melaka, semalam.

Bagaimanapun, abangnya, Zamri lebih cemerlang selepas menduduki tempat ke-10 dalam perlumbaan sejauh 151 kilometer yang menyaksikan saingan berakhir secara berkelompok dan mereka menduduki tempat ke-19 keseluruhan berpasukan.

Menurut pelumba kelahiran Terengganu itu, dia agak kecewa dengan prestasinya setakat ini sehingga memaksa ibunya, Esah Abdullah terpaksa mententeramkan pelumba itu sebaik tamat saingan.

“Saya rasa kecewa pada saingan hari ini (semalam). Saya tidak tahu mengapa strategi yang dirancang tidak menjadi,” kata Harrif yang merupakan pemenang tempat ketiga pada peringkat pertama LTdL 2011 di Langkawi.

Jelasnya, saingan semalam sangat sukar dan sasarannya untuk mengutip mata di zon pecutan juga tidak berjaya.

Malah, dia juga cepat berasa letih selepas terpaksa mengejar kelompok hadapan yang melakukan breakaway lebih awal di kilometer 30.

“Pelumba Astana juga banyak mengawal perlumbaan, meskipun di laluan yang sempit, mereka tetap cuba menguasainya, sekali gus menyebabkan saya tiada peluang untuk meloloskan diri,” jelasnya.

Sementara itu, rakan sepasukan, Jang Chan Jae menduduki tempat ke-12, diikuti Mohd. Shahrul Mat Amin ke-29, Mohd. Saufi Mat Senan ke-36 dan Shinichi Fukushima ke-43.