Halaman

28 February 2012

Usahawan IKS perkenal produk Terengganu di Sarawak

Oleh: Suriati Ali

Kira-kira 150 usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri terpilih mengikuti program ` Terengganu Showcase’ yang akan diadakan di Miri, Sarawak .

Program anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dengan kerjasama Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu dan SKM Sarawak itu akan berlangsung selama tiga hari bermula 27 April ini diharapkan dapat memberi pendedahan positif kepada peserta.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Haji Azmi Razik berkata, pihaknya terpaksa membuat pilihan kerana ramai usahawan IKS cemerlang berminat mengikuti program itu sedangkan ruang pameran yang disediakan adalah terhad.

Katanya, mereka yang terpilih sewajarnya merebut peluang keemasan ini dengan mempromosi secara bijak produk masing-masing kepada pelancong.

“Pihak kami sentiasa memberi ruang dan peluang kepada usahawan menyertai program seumpama ini supaya minda mereka lebih terbuka, dapat menimba pengalaman berguna dan mampu memberi pendedahan terbaik.

“Kita akan membawa sebanyak mungkin produk Terengganu untuk diperkenalkan kepada pelanggan melalui program yang dijangka turut mendapat sambutan negara jiran, termasuk Brunei,” katanya.

Menurutnya, pendedahan merupakan asas penting bagi usahawan dalam usaha mempertingkatkan mutu keluaran produk masing-masing, terutama melalui kaedah pameran produk yang dilakukan secara bergerak.

“Pendekatan ini perlu dilakukan secara berterusan supaya banyak lagi produk berindentiti Terengganu turut dikenali setanding batik, sutera, keropok lekor, minuman roselle dan tembaga,” katanya.