Halaman

01 March 2012

JAGAILAH KUASA YANG ADA- SHAFIE AFDAL

Oleh: Ruslan Rahman

Naib Presiden Umno, Dato’ Seri Mohd.Shafie Haji Afdal mengingatkan pimpinan, ahli Umno dan rakyat Terengganu supaya jangan sampai lagi terlepas kuasa kepada pihak pembangkang dengan mengambil pengajaran atas penderitaan semasa kehilangan kuasa pada tahun 1999.

“Bagaimana sukarnya kita mendapatkan semula kuasa yang terlepas dan jagailah kuasa yang ada ini dengan baik-baik untuk membela rakyat,” katanya dalam satu perjumpaan dengan kepemimpinan Umno bahagian-bahagian di Kuala Terengganu kelmarin.

Katanya, jagailah dan peliharalah baik-baik kuasa yang ada ini untuk mempastikan masa depan anak-anak warisan kita terjamin kelak.

Dalam majlis itu beliau mendedahkan bagaimana rakusnya bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan semasa berkuasa, termasuk arahan memberikan kawasan balak di negeri Sabah kepada kroninya.

“Saya masih simpan dokumen-dokumen itu dan saya adalah barisan pemuda ketika itu menentang perbuatan yang tidak bermoral itu, termasuk untuk memberikan kepada ahli perniagaan dari Sarawak yang menjadi kroni pemimpin itu ,” dedah beliau.

Dato’ Seri Shafie yang juga meminta supaya jentera penerangan parti dapat menerangkan kepada rakyat tentang bagaimana pemimpin pembangkang itu menyokong Isreal dan pelbagai perkara yang mengancam kedudukan Islam sedang dilakukan pihak pembangkang.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya amat memahami permasalahan penduduk di kawasan luar bandar dan sentiasa member perhatian.

Kira-kira 200 orang kepimpinan Umno Terengganu hadir termasuk Ketua-Ketua Umno Bahagian dalam negeri Terengganu.

Beliau meminta supaya semua barisan kepimpinan Umno di semua peringkat siap siaga untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 yang semakin hampir.