Gambar oleh Zulkipli Putra.
Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan menyediakan kemudahan pinjaman yang boleh mencecah sehingga RM50,000 bagi setiap permohonan itu adalah sebagaimana diluluskan dalam ucapan Bajet 2012 pada Disember lalu.
“Hari ini kita sudah mengemukakan kertas cadangan itu kepada mesyuarat exco untuk mendapatkan kelulusan bagi menubuhkan satu Kumpulan Wang Amanah bagi menyediakan pinjaman kepada rakyat Terengganu.
“Kertas cadangan ini akan dibawa kepada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan April nanti yang dibuat mengikut Seksyen 10, Akta Acara Kewangan Negeri bagi membolehkan kita mewujudkan tabung amanah ini,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (29 Februari).
Katanya, pemohon perlu mencagarkan geran itu kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (SEDC) bagi memastikan pemohon tidak mengingkari syarat tempoh bayaran balik pinjaman itu.
“Terpulang kepada pemohon berapa jumlah yang mereka mahu pohon, bagaimanapun kita akan beri sehingga tahap maksimum RM50,000 bagi setiap pinjaman, selain tanah perlu dicagar kepada kita melalui SEDC.
"Kalau tidak beri cagaran, jika kita luluskan pinjaman RM50,000, mereka tidak bayar, habislah kita..sebagai perlindungan kepada kerajaan,” katanya.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mengeluarkan syarat bagi memohon pinjaman itu secara terperinci sebaik sahaja Mesyuarat DUN meluluskan perkara itu nanti.
