Halaman

02 March 2012

Subsidi barangan asas RM10.32 bilion

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan telah memberi subsidi RM10.32 bilion ke atas tujuh barangan kegunaan harian rakyat di negara ini sepanjang tahun lalu semata-mata untuk memastikan harga barangan berkenaan sentiasa terkawal dan stabil.

Antara barangan tersebut termasuk gula (RM789 juta), tepung gandum (RM89 juta), minyak masak (RM813 juta), beras ST15 (RM486 juta), petrol RON95 (RM3.13 bilion) diesel (RM3.59 bilion) dan LPG (RM1.43 bilion).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, berkata rakyat sewajarnya bersyukur kerana kerajaan semasa sememangnya prihatin dan bijak mengawal pelbagai jenis barangan asas walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Katanya, sehingga ke hari ini, tidak ada negara lain yang melaksanakan pendekatan seumpama ini dengan memberi puluhan billion susbidi barangan asas.

“Kita dapat melaksanakannya sebab negara kita mampu dan fikir ingin membantu rakyat supaya tidak hidup susah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, Persekutuan dan Guru-guru di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan serta pegawai kanan kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin turut memberitahu kerajaan melaksanakan dasar dan program yang terbukti mampu membela kebajikan rakyat termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi manfaat kepada 80 peratus isi rumah di seluruh negara.
“Bantuan itu diberikan kepada seluruh rakyat negara ini yang layak tanpa `memilih bulu’ dan parti.

“Pada masa sama, kerajaan menolak sama sekali dakwaan pihak pembangkang yang menyatakan kerajaan akan muflis dengan pemberian ini.

“Kerajaan terlebih dahulu membuat kajian sama ada mampu atau tidak, sebelum mengagihkan sesuatu bantuan BRIM atau pelbagai bantuan lain,” katanya.