Halaman

27 February 2012

Peranan media mampu kembangkan produk, jenama

Oleh: Aida Abd Rahman , Suriati Ali dan Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra.


Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) mengiktiraf peranan media yang amat penting dalam membangunkan setiap matlamat jabatan itu khususnya dalam mengembangkan produk serta jenama mereka di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Azmi Razik, berkata tanpa publisiti dan berita yang disebarkan media, setiap perkhidmatan yang dilaksanakan pasti gagal diketahui masyarakat umum.

“Hasil berita dan publisiti yang dibuat oleh media cetak mahupun media massa umpamanya, T-Shoope, salah satu jenama di bawah YPU mendapat sambutan yang meluas dan amat menggalakkan.

“Ramai pengusaha memberi respon yang positif dan berebut mahu membuka francais T-Shoope. Itu membuktikan jenama kita diiktiraf dan peranan yang diberikan pihak media amat berkesan,” katanya di Majlis Mesra Media Bersama Suruhanjaya Koperasi Malaysia, di Hotel Tanjong Vista, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengarah SKM Terengganu, Encik Osman Ismail dan Presiden Kelab Wartawan Terengganu, Encik Ayob Mamat.

Katanya, promosi media juga menjadi satu suntikan serta galakan yang dapat memajukan lagi koperasi dan anak-anak syarikat negeri menjadi badan yang boleh dibanggakan bukan sahaja pada nama, kualiti mahupun kuantitatif.

“Pengaruh media juga supaya dapat menyedarkan golongan Bumiputera untuk melihat cabaran getir dalam dunia perniagaan dan keusahawanan, selain merebut peluang yang ada khususnya bijak menerokai kemudahan mahupun ruang yang disediakan kerajaan bagi membangunkan bidang itu.

“Ekuiti Bumiputera dalam bidang ekonomi hanya 18 hingga 20 peratus dan media dilihat mampu mengubah dan memartabatkan kuasa ekonomi Orang Melayu u supaya tidak lagi ketinggalan jauh,” katanya.