Orang ramai, khususnya penduduk di sekitar bandaraya ini diminta untuk merancang perjalanan berikutan penutupan beberapa laluan di bandar ini sempena Le Tour De Langkawi (LTDL) Stage 10, esok (4 Mac).
Ketua Jabatan Kenteteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, laluan dalam bandar akan mula ditutup pada jam dua petang kerana waktu berkenaan pelumba dijangka tiba di Bandaraya Kuala Terengganu.
Katanya, pelumba akan melalui laluan Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu dan buat enam pusingan penamat di kawasan bandar.
“Antara jalan yang akan terlibat ialah Jalan Zainal Abidin (Dataran Shahbandar) – Pasar Payang ke Jalan Banggol. Mereka juga akan melalui Jalan Sultan Ismail – Jalan Batas Baru dan Jalan Sultan Omar,” katanya.
Selain itu, Jalan Sultan Ismail (Bulatan Batu Bersurat) - Jalan Sultan Mahmud ke Lampu Isyarat MB. Pelumba seterusnya akan melalui Jalan Pantai Batu Buruk – Jalan Persinggahan ke Primula Hotel dan akan membuat enam pusingan di Jalan Sultan Zainal Abidin ke Dataran Shahbandar.
Oleh itu katanya, orang ramai diminta merancang perjalanan sebaiknya memandangkan jalan dalam bandar akan ditutup sepenuhnya selama 1 jam 45 minit kerana perlumbaan dijangka selesai jam 3.45 petang.