Halaman

29 February 2012

Pelaburan RM1 bilion bangunkan industri akuakultur di Marang

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra.



Terengganu berupaya menarik pelaburan asing dari China berjumlah RM1 bilion dalam industri akuakultur bagi ternakan udang putih yang bakal dibangunkan di Marang dan dijangka beroperasi selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Pelaburan terbesar yang dilaksanakan secara bersepadu dengan syarikat akuakultur dari Malaysia itu akan dilaksanakan di kawasan berkeluasan 1,000 hektar, selain membuka peluang pekerjaan kepada 1,000 penduduk tempatan apabila mula beroperasi kelak.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata projek industri akuakultur ternakan udang berkenaan adalah yang kedua selepas Ladang Akuakultur Udang Bersepadu (iSHARP) Setiu yang dijalankan oleh syarikat milik Khazanah Nasional, Blue Archipelago menerusi anak syarikatnya Arca Biru di Setiu melibatkan peruntukan kira-kira RM200 juta.

“Hasil lawatan saya ke China pada Oktober lalu telah berhasil menarik pelaburan dan sudah dimuktamadkan dalam mesyuarat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang disaksikan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak.

“Pelaburan asing dalam bidang akuakultur bakal dilaksanakan secara bersepadu oleh Syarikat Gaulin Akuatik, antara syarikat penternakan udang terbesar di China yang membabitkan nilai pelaburan sehingga RM1 bilion,” katanya ketika sidang media selepas mesyuarat Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, syarikat ini juga mempunyai sijil kelayakan yang membenarkan hasil ternakan mereka memasuki pasaran luar negara khususnya Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) selain untuk pasaran di dalam negara sendiri.

Projek akuatik terbesar di Terengganu itu nanti bakal dilengkapkan pusat pembenihan, penetasan dan makanan udang serta makmal penyelidikan ternakan.

"Kerajaan negeri juga mahu menarik lebih ramai lagi pelabur asing menjalankan projek dalam bidang ternakan akuakultur seperti ternakan udang.

“Selain Marang dan Setiu, kita juga sedia membuka beberapa lagi kawasan yang sesuai termasuk di Rantau Abang untuk membangunkan projek akukultur seperti ternakan udang, ikan kerapu dalam sangkar kerana persekitaran yang berhampiran dengan pantai dan memudahkan pengairan,” katanya.

Sehingga kini, projek iSHARP Setiu milik syarikat Blue Archipelago mula mengeluarkan hasil ternakan udang sejak awal bulan ini, dan dijangka dieksport ke EU dalam masa terdekat