Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra.
Penglibatan secara langsung semua rakyat yang mewakili pelbagai peringkat dan sektor terutama dalam menyuarakan pandangan dan suara mereka menjadi input berguna bagi tujuan penambahbaikan dasar dan program yang dilaksanakan kerajaan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin, berkata pendekatan melibatkan rakyat secara langsung itu sudah menjadi amalan kerajaan bagi memberi ruang yang lebih luas kepada rakyat bersama-sama terlibat dalam proses pembangunan negara.
“Bukan kerajaan membuat dasar sahaja, tetapi sebelum kerajaan memutuskan sesuatu dasar, ia sudah ada proses pertemuan dan perbincangan(dengan rakyat) barulah dapat merumuskan sesuatu perkara yang mahu dilaksanakan.”
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said; Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Shaberi Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang.
“Kita mahu semua rakyat terlibat dalam sesuatu perkara sebelum ia hendak diputuskan..sebab itu di peringkat pimpinan negara.. Menteri Kabinet sudah mengambil pendekatan sebegini berjumpa apa yang dipanggil `stakeholders’ atau kumpulan masyarakat itu sendiri yang mewakili pelbagai peringkat dan sektor .
“Supaya daripada proses sebegitu kita dapat maklum balas, respon dan mengetahui sama ada perkara yang akan dikemukakan itu boleh diterima baik. Yang penting juga mereka akan terlibat membantu dan menyokong dasar kita itu,” katanya.
Selain itu, katanya pegawai di setiap jabatan kerajaan perlu turun ke bawah menemui kakitangan bawahan. Sebagai contoh, pegawai di Jabatan Pertanian perlu turun menemui petani, nelayan dan pekebun kecil, manakala jika pegawai Mara pula perlu berjumpa peniaga.
“Jadi jika beri ruang untuk rakyat terlibat secara langsung bermakna mereka akan berasa lebih berpuas hati kerana mereka terlibat dalam sesuatu keputusan yang dibuat,” katanya.
