Halaman

02 March 2012

Sekolah Sukan Gong Badak dibina tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Fauzi Mohd

Projek pembinaan Sekolah Sukan di Gong Badak yang bernilai RM25 juta akan dimulakan tahun ini selepas tendernya diserahkan kepada kontraktor yang dipilih melaksanakan projek berkenaan, tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata Kerajaan Persekutuan sudah bersetuju membina sekolah tersebut bagi meningkatkan lagi mutu sukan di negeri ini.

“Sekolah tersebut akan dibina tidak jauh dari Stadium (Sultan Mizan),” katanya ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Teknik, petang semalam.

Pengumuman mengenai projek pembinaan sekolah itu dilakukan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2008 ketika melawat negeri ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said kemudiannya menjelaskan sekolah sukan kedua di Terengganu itu akan dibina di kawasan seluas lapan hektar di Gong Badak, iaitu berhampiran Kompleks Sukan Gong Badak.

Sebelum ini Terengganu sudah mempunyai sebuah sekolah sukan iaitu Sekolah Sukan Bukit Nenas di Setiu.

Selain itu, sempena lawatan ke kawasan Parlimen Kuala Nerus kali ini, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan pelbagai projek kecil yang bernilai RM4.13 juta sebagai ‘buah tangan’ kepada penduduk kawasan itu.

Beliau meminta orang ramai terus memberi sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan tidak mudah terpedaya dengan janji manis pihak pembangkang.