Halaman

02 March 2012

Nasib penjawat awam sentiasa dibela : TPM

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberi keutamaan kepada nasib penjawat awam sama ada di peringkat negeri atau pusat dengan merangka taraf hidup yang lebih baik terhadap golongan itu.

Antara keutamaan itu termasuk skim gaji baru menerusi skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang kini masih dalam proses semakan semula.



"Negara tidak akan maju kalau tidak ada penjawat awam, kerajaan membuat dasar berasaskan aspirasi rakyat namun jika tidak ada penglibatan penjawat awam, dasar akan tinggal dasar," katanya di Majlis Perjumpaan Bersama Penjawat Awam di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam.

Tan Sri Muhyiddin meminta penjawat awam bersabar memandangkan kajian semula skim SBPA dalam peringkat akhir dan hasilnya dijangka diumum oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

"Saya dimaklumkan banyak kemajuan dicapai mengenai SBPA ini, Perdana Menteri sendiri akan umum mengenai bentuk dan format yang akan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, ketika sesi dialog dengan penjawat awam, beliau berkata beliau percaya penjawat awam di negara ini akan terus bersama-sama kerajaan BN yang terbukti mampu memenuhi aspirasi rakyat.

Katanya, jika semua 1.3 juta penjawat awam terus setia kepada kerajaan yang ada hari ini, tidak mustahil hasrat kerajaan melonjakkan negara ke kedudukan luar biasa setaraf negara-negara maju lain akan tercapai dalam masa terdekat.

"Ia tidak sama dengan pihak sebelah sana (pembangkang), cuma baru-baru ini mereka keluarkan Buku Jingga sebagai umpan agar mereka diterima pada pilihan raya umum kali ini.

"Namun, berdasarkan kajian pakar ekonomi, jika apa yang terkandung dalam buku itu dilaksanakan, Malaysia akan bankrap dalam tempoh dua tahun," katanya.