Halaman

27 February 2012

Puteri kesan dua ribu ahli belum daftar

Oleh; Esah Abdullah

Masih ada lima peratus atau 2,000 orang daripada jumlah keseluruhan 40,000 ahli
Pergerakan Puteri UMNO Perhubungan Terengganu yang belum mendaftar sebagai pemilih di negeri ini.

Ketuanya, Puan Nordiana Dato’ Shafie berkata, pihaknya sedang memperhebatkan aktiviti ke arah menarik minat golongan wanita muda agar tampil mendaftar sebagai pemilih agar dapat menjadi seorang warga negara yang bertanggung jawab terhadap parti dan negara.

“Di samping mengemaskini status keahlian dan mengesan mereka yang layak mendaftar, kita tidak abaikan usaha membina kekuatan dalaman untuk membantu parti mengekalkan pemerintahan dalam pilihanraya umum akan datang,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

Katanya, tidak semua ahli Puteri yang ada sekarang layak mengundi kerana umur kelayakan menjadi ahli adalah 18 tahun ke atas manakala untuk menjadi seorang pemilih mesti 21 tahun,” katanya.

Tambahnya, jawatankuasa Puteri di cawangan diminta mengesan dan mengingatkan rakan-rakan mereka yang sudah cukup umur agar segera mendaftar sebagai pemilih.

“Setiap aktiviti Puteri seperti klinik bergerak, karnival, pameran kerjaya, akan memberi ruang daftar keahlian dan daftar pemilih baru ia lebih berkesan untuk tarik wanita muda menyertai Puteri,” katanya.

Tambahnya, usaha menambah jumah keahlian terus diadakan dari semasa ke semasa agar setiap mesej parti dan kerajaan dapat sampai terus kepada mereka tanpa disebotaj oleh pihak lain.