Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd. Harrif Salleh menceriakan penyokong tempatan apabila muncul tempat kedua peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012 dari Pekan ke Chukai, semalam.
Lebih manis hampir 10,000 rakyat negeri Terengganu menanti untuk menyambutnya di garisan penamat dengan mengharapkan pelumba kesayangan mereka itu berjaya muncul juara pada perlumbaan sejauh 100.8 kilometer itu.
Bagaimanapun, mereka tetap gembira apabila melihat pelumba berusia 24 tahun itu berjaya meloloskan diri daripada 119 pelumba untuk meraih tempat kedua di belakang pelumba Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini yang lebih dahulu mencecah garisan penamat.
Menurut pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu, tempat kedua sudah cukup bermakna dan kejayaan besar pernah diraihnya selepas memenangi tempat ketiga di peringkat keempat dari Batu Pahat ke Muar dan edisi tahun lepas di Pulau Langkawi.
Harrif mencatat masa dua jam 13 minit 27 saat dalam perlumbaan yang turut disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek.
"Apa yang penting adalah menewaskan pelumba Eropah agar mereka tahu pelumba kita juga boleh memberi saingan.
"Saya mahu buktikan bahawa pelumba negara boleh lakukan tetapi kejayaan mungkin tidak akan muncul tanpa bantuan rakan pasukan terutama abang saya (Mohd Zamri Salleh)", katanya.
Harrif memulakan asakan dalam peloton besar untuk berada di belakang Guardini yang cukup dikenali dengan kepantasannya tetapi tidak mampu menyekat pelumba Itali itu yang melakukan henjutan cukup bertenaga pada 200 meter terakhir.
Pelumbaan sejauh 165.7km, hari ini akan bermula di Kemasik menuju ke Kuala Terengganu pastinya cukup bermakna buat Harrif apabila penamat perlumbaan peringkat kesembilan ini berdekatan dengan kampung halamannya, Ladang Titian.