Halaman

24 February 2013

Program Permata Negara dimantapkan

Datin paduka Seri Rosmah Mansor bermesra dengan seorang kanak-kanak Program Permata.

Oleh; Esah Abdullah

Permata Negara bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-kanak Kebangsaan (NCDRC) di Universiti Pergurusan Sultan Idris (UPSI) menjalankan beberapa kajian penyelidikan bagi memberi lebih nilai kepada Program Permata.

Isteri Perdana Menteri merangkap Penaung Program Permata, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor berkata, para penyelidik turut menyediakan cadangan aktiviti menarik bagi memantapkan lagi proses pembelajaran anak-anak.


“Penyelidikan berkonsepkan aplikasi ini melihat beberapa aspek dalam proses pembelajaran boleh dimantapkan seperti pengajaran awal matematik dan terapi lukisan,” katanya ketika berucap merasmikan Taska Permata Keluarga Serdang Baru, Bukit Tunggal, Kuala Terengganu petang semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; isteri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, To’ Puan Hajah Halijah Ali; isteri Setiausaha Kerajaan To’ Puan Hajah Rohani Abdullah; Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) Encik Mohd Safaruddin Mustaffa serta isteri ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Selain itu katanya, himpunan lagu-lagu tradisional turut diterbitkan dalam bentuk CD di mana koleksi itu digubah semula sesuai untuk dinyanyikan sebagai satu cara memperkenalkan kanak-kanak dengan lagu-lagu tradisional.

 “Semua hasil penyelidikan telahpun dibukukan bagi berkongsi maklumat dan sebagai pemudahcara untuk pendidik mengaplikasikannya,” katanya.

Menurutnya, pendidik juga dapat mempelajari teknik dan kaedah baru dalam melaksanakan proses pembelajaran di samping memberi kepelbagaian kepada aktiviti pembelajaran agar sentiasa menarik bagi mengekalkan minat kanak-kanak untuk terus belajar.

Katanya, sehingga ini 654 buah Taska di seluruh Negara telah menggunakan Program Permata yang berkongsi aspirasi menyediakan platform awal bagi melahirkan modal insan yang akan menjadi kebanggaan negara.

“Saya percaya pendidikan berkualiti merupakan salah satu strategi yang boleh diambil sebagai persediaan membina modal insan terbaik sekali gus menangani masalah sosial di kalangan remaja,”.

 “Kanak-kanak dari usia kecil mempunyai peluang untuk digilap dan dikembangkan potensinya secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” katanya.

Datin Paduka Seri Rosmah berkata, rakyat seharusnya merasa bertuah mempunyai kerajaan yang sentiasa menyokong pelaksanaan program yang mementingkan kebajikan mereka.

Menurutnya, YPKT menerima peruntukan RM18 juta dari kerajaan pusat untuk perluasan program Taska Permata di setiap DUN dan Terengganu mempunyai bilangan Taska Permata paling banyak berbanding negeri lain di negara ini.

“Ini juga ceminan kerjasama dan komitmen kerajaan pusat dan negeri dalam menyediakan program asuhan dan didikan awal berkualiti serta menyeluruh untuk dinikmati oleh kanak-kanak di kawasan luar bandar.

Katanya, ia juga menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan negeri terhadap pendidikan awal kanak-kanak yang akan menjadi sumber manusia atau aset terpenting kepada negeri kelak

Datin Paduka Seri Rosmah kemudiannya menyerahkan Dokumen Kajian Taska Permata kepada Pengarah Kemajuan Masyarakat (Kemas), Puan Nor Hazelina Hashim dan Pengarah Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Encik Tukimin Sarlan.