Barisan Nasional (BN) Terengganu optimis mampu menawan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) termasuk merampas semula empat kerusi dimenangi pembangkang pada PRU lalu.
Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, berdasarkan kajian dan prestasi semasa, empat hingga enam kerusi DUN yang dimenangi pembangkang dijangka dapat ditawan semula terutama di Ladang, Bukit Payong, Bukit Tunggal dan Manir.
“Melalui kajian dibuat, BN Terengganu yakin dapat merampas balik empat hingga enam kerusi yang kita kalah pada PRU12 lalu. Kita jangka dapat mengambil semula Ladang, Bukit Payung, Bukit Tunggal dan Manir.
“Hanya kerusi di (DUN) Wakaf Mempelam dan Rhu Rendang agak ‘kritikal’. Kita kalah di Ladang pada PRU 2008 hanya majoriti 31 undi disebabkan masalah teknikal apabila satu beg undi pos tidak dibuka.
“Sebab itu, sewaktu Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 2009, di DUN Ladang, BN menang majoriti 570 undi. Manakala tiga kerusi lagi, kalah dengan majoriti kecil, sebab itu kita yakin dapat kembali kerusi DUN itu,” katanya.
Pada PRU12, BN menang dengan 24 kerusi, manakala Pas pula menang lapan kerusi termasuk DUN Sura dan Batu Buruk.