Halaman

26 February 2013

CIDB tunggu laporan berkaitan SSMZA

Oleh: Suriati Ali 

Kontraktor yang terbabit dalam kerja menurunkan bumbung lama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Kuala Terengganu boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk digantung lesen sekiranya siasatan mengesahkan kecuaian menjadi punca kejadian itu.

 Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) negeri, Ahmad Farrin Mokhtar, berkata kontraktor utama yang diberi tanggungjawab melaksanakan kerja menurunkan bumbung lama itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta 520 CIDB.

 Beliau berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan hasil siasatan daripada beberapa pihak sebelum mengambil tindakan selanjutnya dan menentukan sama ada kerja berkenaan diteruskan oleh kontraktor sama atau diserahkan kepada kontraktor baru.

"Kerja menurunkan bumbung lama itu diserahkan oleh kontraktor utama kepada sub kontraktor. Sekiranya siasatan mendapati kecuaian adalah punca utama kejadian, pihak kontraktor utama boleh dikenakan tindakan digantung lesen atau pendaftaran.

 “Buat masa ini kerja-kerja ini diarah dihentikan sementara oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk memudahkan pihak yang berkenaan menjalankan siasatan," katanya ketika melawat lokasi kejadian di SSMZA di sini, hari ini

 Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Amalan Terbaik Industri Pembinaan (CIBPAC), Ir Jamaluddin Non. Sementara itu, Jamaluddin berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kejadian struktur kerangka bumbung SSMZA runtuh Selasa lalu berpunca daripada kelemahan kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

 Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti kelemahan kontraktor yang kurang berpengalaman untuk menjalankan kerja membuka semula bumbung jenis 'space frame' itu, menyebabkan berlaku runtuhan.

 Beliau berkata, SSMZA adalah infrastruktur pertama di negara ini menggunakan bumbung daripada teknologi Korea itu dan belum ada prosedur standard operasi (SOP) mengenainya yang dibangunkan untuk rujukan pihak kontraktor di negara ini.

 "Daripada hasil taklimat CIBPAC dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), JKR dan kontraktor, kita mendapati kontraktor tidak cukup pengalaman untuk membuka semula bumbung 'space frame' di stadium ini.


 "Kerja memasang dan membuka bumbung jenis ini memang tidak banyak di Malaysia dan kontraktor tempatan yang arif mengenainya juga tidak banyak," katanya.

 Jamaluddin berkata, pihaknya akan mengeluarkan laporan hasil siasatan dalam masa terdekat, sebelum diserahkan kepada CIDB untuk diambil tindakan selanjutnya.