Halaman

24 February 2013

27 Taska Permata dilengkapi CCTV

Oleh: Esah Abdullah dan Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil inisiatif memasang 27 daripada 65 Taska Permata miliknya dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sehingga kini.

Pengarahnya, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, langkah itu adalah untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di taska selain membolehkan ibu bapa melihat aktiviti anak-anak mereka.

Katanya, adalah menjadi hasrat YPKT untuk memasang CCTV di semua taska secara berperingkat bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dapat dikawal.

"Bagaimanapun pemasangan kemudahan itu di semua taska bergantung kepada peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri,".

"Namun begitu, taska yang belum dilengkapi dengan kemudahan CCTV itu dipasang dengan alat penggera keselamatan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Taska Permata Keluarga Terengganu oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Taska Permata Keluarga Serdang, Buki Tunggal, semalam.

Menurut beliau, Taska Permata juga turut dilengkapi dengan kemudahan peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) terkini yang disediakan oleh Syarikat Top-IT Industries Sdn Bhd, anak syarikat Kerajaan Negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri membelanjakan kira-kira RM1.2 juta sebulan atau RM15 juta setahun bagi memberi perkhidmatan taska yang terbaik di negeri ini.

"Taska Permata menggunakan kurikulum Permata Negara yang dipantau oleh Jawatankuasa Pemantauan yang berpusat di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

"Malah, lebih membanggakan dalam usaha memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-anak yang dihantar ke taska, pelantikan tenaga pengajar kini mengikut tahap pendidikan yang lebih tinggi samaada pemegang diploma mahupun ijazah berbanding mereka yang hanya berkelulusan SRP dan SPM pada tahun 80 an yang sekali gus dapat mengangkat martabat nama pengasuh kepada pendidik,” katanya.

Sehingga kini seramai 3,520 kanak-kanak yang berusia setahun hingga lima tahun sedang mengikuti pendidikan di Taska Permata Keluarga di seluruh negeri Terengganu dan tenaga pendidik pula melibatkan seramai 570 orang daripada pelbagai jurusan.