Halaman

24 February 2013

JANJI DITEPATI, JANGAN TERPEDAYA JANJI KOSONG PEMBANGKANG.

Oleh: Ruslan Abdul Rahman-Pengarang Teganukita 

Barang yang dikata, itulah yang dikota. Janji mesti ditepati. Itu pendekatan dan slogan yang universal, nilai yang amat positif tidak kira siapa mereka.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd.Najib Tun Abdul Razak sendiri telah meletakkan sebagai kewajipan di pihak kerajaan untuk menunaikan janji kepada rakyat.

Ia bertepatan dengan ajaran agama kita supaya menunaikan janji dan menjauhi perbuatan memungkiri janji.

Mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kerajaan adalah merupakan suatu pengharapan yang tinggi, agar kehidupan mereka lebih selesa, selamat dan terpelihara.

Manifesto yang dikemukakan kepada rakyat setiap kali pilihanraya bukanlah sekadar janji kosong, tetapi ia adalah merupakan janji yang mesti ditepati.

Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang menunaikan manifesto partinya.

Kerbau dipegang pada tali hidungnya, manusia dipegang pada kata-katanya, itulah peribahasa Melayu yang sesuai sekali bagi penegasan dalam perkara janji ditepati ini.

Kerajaan sekarang melalui manifesto pada penggal pilihanraya yang lalu misalnya, menjanjikan kepada rakyat untuk menjadikan negara yang "Selamat, Aman, Makmur", menepati kehendak majoriti rakyat Malaysia menuju masa depan lebih baik.

Kita bersyukur janji selamat, aman dan makmur itu dengan izin Tuhan ditunaikan dan dapat kita nikmati kini.

Manifesto bolehlah didefinisikan sebagai satu perisytiharan umum tentang dasar dan matlamat, dikeluarkan sebelum pilihan raya oleh sesebuah parti politik, calon, kerajaan dan sebagainya. Ia adalah perisytiharan umum mengenai prinsip, dasar atau hasrat.

Ini selaras dengan pengertian dalam bahasa Latin, bahasa asal perkataan ‘manifestus’ iaitu ‘bukti’ dan ‘nyata’ yang sekaligus menuntut manifesto bukan hanya sebagai pengumuman mengenai niat tetapi juga dituntut ialah bukti-buktinya yang jelas.

Orang ramai jangan terpedaya dengan sesetengah pihak yang hanya pandai berjanji dengan janji-janji manis dan mengemukakan manifesto yang sungguh enak lagi menarik, namun akhirnya ia hanyalah janji kosong atau janji yang tinggal janji.

Di Terengganu kita sudah melalui pengalaman pahit sebelum ini. Rakyat Terengganu pernah terpedaya kepada golongan berkenaan yang berjanji itu dan ini, tetapi berakhir dengan janji kosong.

Selama empat tahun rakyat Terengganu hidup dalam keadaan mundur dan ketinggalan akibat terpedaya dengan janji golongan tersebut.

Kebaikan yang dijanjikan bertukar menjadi sebaliknya kerana golongan ini menjadi seperti ‘tikus membaiki labu’- yang telah baik bertukar menjadi rosak dan binasa. Oleh itu jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’.

Berwaspadalah, bila menjelang musim pilihanraya, golongan ini akan datang lagi kepada rakyat dengan manifesto yang kadang-kadang tidak masuk akal, yang bakal menjadi janji kosong semata-mata. Jangan sampai, mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan.

Misalnya dijanji oleh golongan itu pendidikan dan tajaan menyambung pelajaran percuma, bekalan air percuma dan sebagainya, bagai menanam tebu di bibir mulut- untuk mengaburi mata rakyat.

Ingatlah kerajaan yang ada sekarang sudah melakukan berbagai-bagai pendekatan untuk faedah untuk rakyat membabitkan semua keperluan kehidupan untuk keselamatan, keselesaan dan kemakmuran.

Di bawah pendekatan Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan, pelbagai usaha pembangunan yang kerajaan di Terengganu lakukan untuk faedah rakyat. Setiap pembangunan yang dijalankan, dipastikan faedahnya untuk rakyat jelata.

Misalnya tempat tinggal yang selesa untuk penduduk setinggan dalam kawasan Bandaraya Kuala Terengganu dengan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat, Padang Hiliran Cabang Tiga, berjumlah 1,002 unit telah dibina dan 12 unit dikhaskan untuk orang kurang upaya.

Ia dijual dengan harga RM35,000 seunit sahaja atau boleh juga disewa, hanya dengan harga RM124 sebulan.

Malah janji kerajaan kepada rakyat yang berpendapatan rendah untuk diberikan pinjaman membina rumah sendiri pun ditunaikan.

Dalam Bajet 2013 yang diumumkan tahun lepas, kerajaan negeri menawarkan pinjaman untuk rakyat yang berpendapatan rendah.

Kini RM50 juta diluluskan yang akan memberi manfaat kepada 1,000 pemohon pinjaman perumahan itu.

Menyediakan kemudahan ibadat, masjid yang selesa termasuk di pulau, misalnya masjid baru Pulau Perhentian, berharga RM13 juta untuk menampung 800 jemaah di pulau berkenaan .

70 peratus sudah siap, sebahagiannya berada dalam air laut menjadikan ia cukup indah dan menarik untuk menyeru.

Malah di bidang pendidikan pada masa ini Kerajaan Negeri melalui Yayasan Terengganu sedang menaja 3 700 pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi dalam dan luar negara.

Dari jumlah tersebut 168 orang sedang mengikuti kursus perubatan di Mesir dan 57 orang di Indonesia. Bagi kursus pengajian Islam 115 orang sedang belajar dalam bidang tersebut di beberapa buah universiti di Asia Barat.

Terlalu banyak yang telah kerajaan sekarang lakukan untuk rakyat. Kesemua itu adalah contoh janji-janji yang ditepati.

Justeru itu, Program Jelajah Janji Ditepati bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak di Terengganu ini amatlah besar ertinya kepada rakyat Terengganu.

Ia adalah suatu sikap telus, ikhlas dan mesra pucuk kepemimpinan negara bertemu dengan rakyat di mana sahaja di pasar mahu pun di tempat-tempat awam yang lainnya.

Pemimpin utama negara mahu melihat sendiri kehidupan rakyat, merasai sendiri denyut nadi rakyat- untuk memastikan rakyat di mana sahaja berada, agar semua golongan dapat menikmati kemudahan dan pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan untuk rakyat.