Halaman

24 February 2013

Polis Terengganu adakan simulasi pilihanraya

Oleh; Esah Abdullah

Polis Terengganu mengadakan program latihan simulasi pilihanraya kali kedua bagi melihat kesiapsiagaan anggota polis dari semua aspek untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) hari ini.

Ketua Polis Terengganu Dato’ Jamshah Mustapa berkata, pada latihan itu pihaknya akan memberi penekanan terhadap aspek lojistik, komunikasi, penugasan anggota semasa hari mengundi.

"Latihan khusus untuk menghadapi hari mengundi yang memakan masa agak panjang iaitu bermula dari pembukaan pusat mengundi hingga kepada proses pengiraan undi.

 "Jadi kita nak lihat bagimana anggota kita menjalankan tugas serta penyampaian maklumat serta tindakan yang patut dilakukan jika timbul masalah pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis perasmian Taska Permata Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) oleh isteri Perdana Menteri Datin Paduka Seri Rosmah Mansor petang semalam.

Dato’ Jamshah berkata, program yang bermula pada 8 pagi itu melibatkan 1,500 hingga 2,000 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu serta anggota polis daerah-daerah.

Katanya, program latihan 'simulasi pilihan raya' kali kedua itu juga akan memberi pendedahan kepada anggota yang akan ditugaskan di tempat-tempat yang telah ditetapkan.

Menurutnya, polis Terengganu merupakan polis pertama di negara ini mengadakan program latihan seumpama itu dan ini merupakan program kedua di mana program pertama diadakan pada 27 Januari lalu.