Halaman

01 March 2013

Umno guna jentera parti pasang bendera

Umno menggunakan jentera partinya bagi memasang bendera Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, YB Ramlan Ali, berkata tidak timbul isu Umno menggunakan khidmat anak-anak yatim Asrama Perkaya bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Beliau berkata, tuduhan itu sengaja ditimbulkan oleh pihak Pas bagi mencuri perhatian dan mahu menjatuhkan imej Umno.

 “Kita guna pekerja kita sendiri untuk pasang bendera di semua kawasan di DUN Jabi. Kita tak perlu guna anak yatim kerana tenaga kita cukup untuk pasang bendera,” katanya bagi menjawab tuduhan Pengarah Majlis Tindakan Pas DUN Jabi, Dr Azman Ibrahim yang mendakwa Umno menggunakan anak yatim Perkaya bagi memasang bendera.

YB Ramlan menjelaskan batang-batang kayu bagi kegunaan memasan bendera diletakkan di kawasan asrama Perkaya di Jabi bagi mengelakkan ia dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebelum ini kita letak di luar tetapi dicuri orang. Jadi bagi mengelakkan kejadian itu berulang, kita tumpang sementara kayu-kayu tersebut dalam asrama Perkaya,” katanya.