Halaman

26 February 2013

Tun Dr Mahathir bakal temui penduduk Marang

Oleh: Suriati Ali

Kepimpinan Umno Bahagian Marang giat merangka pelbagai strategi dan program bagi merealisasikan impian banyak pihak untuk ‘menawan’ semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

 Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar berkata, antara program yang dicadangkan di Parlimen Marang dalam tempoh terdekat, membawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk menyampaikan amanat kepada semua lapisan masyarakat, pada 2 Mac depan.

Katanya, majlis anjuran panel Perundingan Pertbubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu dengan kerjasama kerajaan negeri itu dijangka dihadiri lebih 4,000 orang mewakili jabatan kerajaan, pertubuhan kebajikan dan NGO di kawasan berkenaan.

“Saya percaya dengan sentuhan Dr Mahathir yang terkenal dengan ucapan bernas dan penuh fakta itu, hasrat menawan kerusi Marang pada pilihan raya umum akan datang menjadi lebih mudah.

 “Kita mahu memberi peluang yang seluas-luas kepada Dr Mahathir untuk membicarakan mengenai kepentingan BN memerintah negara ini pada PRU 13,” katanya.

 Dato’ Haji ’Abdul Rahman sendiri pernah menang kerusi Parlimen Marang sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 1986 di mana beliau dilantik menjadi timbalan menteri.

 Keupayaannya menewaskan Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang pada 1986 menyebabkan beliau diberi gelaran “giant killer” dan dilantik sebagai timbalan menteri.