Halaman

26 February 2013

Hubungan baik negeri dengan Pusat tingkat pembelaan rakyat

Oleh: Aida Abd Rahman

Hubungan baik dan persefahaman yang wujud antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat membolehkan  bantuan disalurkan selari bagi memenuhi keperluan dan meningkatkan pembelaan untuk rakyat .

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata inisiatif  kerajaan negeri merintis pelbagai bantuan dan kemudahan bagi meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan menjadi ikutan Kerajaan Pusat untuk menyediakan bantuan yang sama.

“Kerajaan negeri dan juga Kerajaan Pusat sentiasa komited membantu rakyat. Saban tahun banyak bantuan diberikan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.

" Jika kerajaan negeri menyediakan bantuan Dana Hari Raya, bantuan pakaian sekolah, bantuan e-book dan Dana Bakti Remaja. Hari ini Kerajaan Pusat mengikuti langkah kita.

 “Bantuan Dana Hari Raya, Terengganu agihkan RM300, Kerajaan Pusat beri RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jika untuk remaja RM200, kerajaan Pusat sediakan RM250. Pakaian sekolah kita sediakan RM200 untuk (seorang sekolah rendah dan seorang sekolah menengah), manakala Kerajaan Pusat wujudkan juga dengan menyediakan RM100 seorang pelajar. Kalau anak 10 orang berjumlah RM1,000, anak lima pula RM500,” katanya di Pusat Latihan Antarabangsa, TATiUC, Teluk Kalong, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, peruntukan yang disediakan Kerajaan Pusat lebih tinggi memandangkan kedudukan ekonomi dan kewangan yang lebih baik.

Bagaimanapun, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata sebalik pelbagai bantuan yang tidak pernah gagal ditunaikan itu, masih ada rakyat yang berfikiran sempit dan cuba mempertikaikan nya akibat pengaruh politik.

Katanya, segelintir rakyat negeri ini khususnya pembangkang bertindak menafikan bantuan yang khusus membela nasib rakyat miskin dan memerlukan itu, termasuk melabelkan ia dengan pelbagai tafsiran kurang baik dan tidak sewajarnya sebagai masyarakat Islam.