Halaman

02 March 2013

Kilauan permata IQT

Oleh: Aida Abd Rahman

Al-Quran sebagai sebuah kitab petunjuk dan kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Malaikat Jibril. Mengungkap setiap hurufnya bermula dari Surah al-Fatihah hingga Surah an-Nas merupakan ibadat dan membuktikan kecintaan yang tiada tolok bandingannya terhadap Allah s.w.t dan relevan sepanjang zaman.

Para penghafaz al-Quran adalah orang yang istimewa di sisi Pencipta dan para Rasul. Menyedari hakikat itu, Kerajaan Terengganu berusaha menerajui pembentukan generasi al-Quran melalui pembudayaan ilmu dengan mewujudkan Institut al-Quran Terengganu (IQT).

Sebelum dinamakan sebagai IQT pada 2 Januari 2007, pusat pengajian yang berhasrat muncul sebagai tempat penyelidikan dan rujukan terkenal di rantau ini sebelum ini dikenali dengan sebagai Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Terengganu sudahpun melahirkan 721 pelajar sejak 25 tahun beroperasi.

Pelbagai kejayaan diraih pelajar IQT yang mengikuti Program Persijilan Syahadah dan Diploma Lepasan SPM serta Program Pengajian al-Furqaan selain mereka terbukti muncul sebagai para huffaz yang berjaya. Seorang pelajarnya, Ikhwan Amin Hidayat, 19, dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu antara pelajar pusat pengajian itu yang bakal menggalas tanggungjawab mewakili Terengganu di Majlis Hafazan Peringkat Kebangsaan di Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 4 hingga 8 Mac ini.

Kelancaran dan ketepatan anak sulung daripada tiga beradik memperdengarkan bacaan hafazan al-Quran bagi tahap satu hingga 30 juzuk berjaya memikat juri untuk meraih markah tertinggi daripada semua peserta yang bertanding bagi tahap itu.

Ikhwan Amin mengumpul markah keseluruhan 99.38 peratus menewaskan peserta di tempat kedua, Mohd Izzat Mat Nor, 24, dari Institut Pengajian Islam Kuala Berang (99.08 peratus) dan ketiga, Ahmad Miqdad Mohd Abidin, 19, juga dari IQT (98.56 peratus).

Kemenangan cahayamata pasangan Hidayat Mustafa, 45, dengan Kamariah Abdullah, 47, yang lahir tanggal 17 Ogos 1994 membolehkan anak muda membawa pulang wang tunai RM7,000 dan sijil penyertaan. 

Menurut pelajar yang berhasrat menyambung pengajian di Universiti Jordan dalam bidang Syariah itu, dia memperuntukkan masa antara dua hingga empat jam sehari bagi mengasah minda dan ingatan, selain sentiasa menunaikan solat hajat bagi memberinya keyakinan terutama dalam majlis hafazan yang disertainya.

Bekas johan hafazan peringkat negeri bagi tahap satu hingga 20 juzuk tahun lalu itu sentiasa mengelak daripada memakan makanan yang boleh melemahkan daya ingatan terutama organ dalaman binatang, makanan ringan, minuman bergas dan kafein.

“Alhamdulillah bersyukur dengan kejayaan ini. Saya akan sentiasa mengasah ingatan dan memperbetulkan bacaan saya bagi mempersiapkan diri menjelang pertandingan peringkat kebangsaan nanti.

“Saya jadikan guru tasmi’ al-Quran, Ustaz Hazwan Abdul Rahman sebagai sumber inspirasi saya untuk melakukan yang terbaik di pertandingan itu kelak. Selain itu, kedua ibu bapa juga penguat semangat saya untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang ini,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin yang memperolehi 7A 1B dan 1C pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah 2009 berhasrat untuk terus bergelar huffaz terbaik dan mampu menurunkan ilmu al-Quran itu kepada sahabat yang lain, selain dipraktikkan dalam amalan seharian.

Sementara itu, ibu Ikhwan, Kamariah turut melahirkan rasa bangga dengan kejayaan puteranya yang cenderung memilih bidang agama walaupun dia dan suami tidak mempunyai latar belakang dan profesionalisme di bidang itu.

“Alhamdulilah bersyukur ke hadrat Allah s.w.t, kerana anak saya memupuk minat dan mencintai ilmu al-Quran tanpa paksaan sesiapa. Ia dari kerelaan dan kehendak sendiri. Saya hanya menyokong usahanya dan terbukti dia mampu berjaya walaupun kami tidak mempunyai latar belakang bidang itu,” kata pembantu jurujual kedai di bandar Kuala Terengganu itu lagi.