Delegasi dari Universiti Sains dan Teknologi Jordan (JUST) kagum dengan dasar kerajaan negeri dalam melaksanakan perancangan dan strategi di sektor pendidikan bagi melahirkan generasi yang berakhlak tinggi serta cemerlang khususnya dalam bidang agama.
Delegasi dari Jordan University of Science and Technology sedang mendengar taklimat di Pejabat Unit Komunikasi Kerajaan Terengganu |
“Bukan sahaja kagum dan berbangga dengan amalan serta cara persembahan dalam bidang pendidikan, kami juga seronok berada di negeri ini, di mana negeri ini begitu cantik, bersih, selain orangnya juga ramah. Malah, mereka juga suka memberi senyuman apabila bertemu, padahal mereka tidak mengenali siapa kita.
“Selain persekitaran menarik dan bersih, masjid juga terjaga dengan baik dan rapi, ” kata beliau dalam lawatan ke Pejabat unit Komunikasi negeri (Ukom), hari ini.
Hadir sama, Pengarah Ukom, Haji Shamsuddin Sulong dan Penolong Ketua Pengarah, Haji Mohd Kamal Abdullah.
Prof Ahmed menjelaskan bahawa kunjungan ke negeri ini sejak 22 Februari lalu membuktikan bahawa apa yang digambarkan mengenai Terengganu sebuah negeri yang menarik dan masyarakatnya yang ramah melayani tetamu amat tepat apabila mereka berkesempatan merasai pengalaman itu.
Katanya, lawatan ke beberapa tempat menarik termasuk pusat pendidikan di negeri ini membolehkan mereka melihat sendiri perkembangan dan amalan kerajaan negeri dalam menerajui bidang pendidikan dan juga pelancongan yang menjadi pemangkin utama kepada sumber ekonomi negeri.
Rombongan pertama dari luar negara yang melawat Ukom itu turut menerima cenderahati kenang-kenangan.
Mereka sudah melawat Imtiaz Besut dan Taman Tamadun Islam sebelum meneruskan kunjungan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA).