Halaman

26 February 2013

Manifesto lebong Pakatan Rakyat

Analisis berita oleh: Kamarudin Mat Akib

Pakatan Rakyat (PR) mengumumkan manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) yang boleh dikatakan amat mustahil untuk ditunaikan jika mereka berjaya memerintah negara ini selepas PRU 13.



Atau jika mereka melaksanakan sepenuhnya manifesto yang digariskan itu, negara Malaysia akan muflis dan rakyat terpaksa menanggung akibat yang amat besar dari segi ekonomi dan sosial. PR berjanji akan menurunkan harga minyak jika mereka memerintah negara ini.

Bagaiamana mungkin perkara itu dapat dilakukan secara berterusan kerana harga minyak bergantung kepada pasaran dunia?

Pada masa ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa mengeluarkan peruntukan yang besar bagi memberi subsidi ke atas harga minyak yang sememangnya dijual dengan harga yang jauh lebih rendah dari harga pasaran semasa.

Malah, harga minyak petrol dan diesel di negara ini merupakan yang terendah di Asia Tenggara kerana kerajaan memberi subsidi kepada harga asal minyak.

PR berjanji akan mengenakan harga elektrik yang lebih rendah sedangkan dengan harga elektrik yang dikenakan sekarang ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menanggung kerugian besar pada setiap tahun.

Jika tol pula dihapuskan, dari sumber mana kerajaan mahu mendapatkan kewangan bagi membina jalan raya dan menyelenggara lebuh raya yang ada di seluruh negara.

Itu hanya memetik beberapa perkara yang disebut dalam manifesto PR yang boleh dikatakan semuanya direka bagi menyedapkan hati rakyat.

Sejarah telah membuktikan bahawa pembangkang hanya pandai berjanji, tetapi mereka tidak pernah mengotakan setiap janji yang diberikan.

Bukti sudah jelas berlaku di Selangor yang dimenangi oleh pembangkang pada PRU 12, tetapi mereka tidak menunaikan janji-janji tersebut hinggakan Kerajaan Selangor pimpinan PKR diheret ke mahkamah kerana mungkir janji.

Begitu juga pada pilihan raya sebelum ini pembangkang pernah berjanji akan menghapuskan cukai jalan dan memberi elaun kepada orang tua, tetapi janji mereka tinggal janji sahaja.

Pas yang mencanang memperjuangkan Islam, juga pernah berjanji akan melaksanakan hudud, tetapi ia tidak juga ditunai walaupun kini mereka sudah menang di dua negeri iaitu Kelantan dan Kedah.

Lebih parah lagi, selepas berkawan dengan DAP Pas terus mengugurkan cadangan melaksanakan hukum hudud.

Bagi mengelakkan daripada ditipu oleh pembangkang buat sekian kalinya, rakyat tidak perlu percaya kepada manifesto yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat kali ini.

Manifesto kali ini tidak lebih daripada cerita “Hikayat Seribu Satu Malam” yang merupakan satu lagi dongengan pembangkang untuk memancing undi kerana mereka berada dalam kedaan terdesak.