Halaman

02 March 2013

PRU 13 peluang rakyat tolak Pas secara total

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) merupakan peluang terbaik kepada rakyat negeri ini untuk menolak Pas dan semua parti pembangkang secara total, bagi kebaikan umat islam dan bangsa Melayu.

Pegawai Pembangunan Parlimen Marang, Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar, berkata banyak masalah ditimbulkan oleh Pas sejak parti itu ditubuhkan, termasuk Amanat Haji Hadi yang membawa kepada isu kafir mengkafir dan perpecahan di kalangan umat Islam dan masyarakat Melayu.

“Sekarang ini timbul pula isu kalimah Allah yang timbul disebabkan Pas telah bersengkokol dengan DAP yang sememangnya anti-Islam,” katanya.

Beliau berkata, pakatan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan menimbulkan lebih banyak masalah di masa depan jika ada antara masyarakat Melayu dan Islam menyokong Pakatan Rakyat.

“Kita tidak ada cara lain untuk menghapuskan Pas atau Pakatan Rakyat, melainkan menolak semua calon mereka pada PRU 13,” katanya.

Di Terengganu Pas menang lapan daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu daripada lapan kerusi Parlimen pada PRU 12.

“Kita mahu rakyat Terengganu memastikan Umno dan Barisan Nasional (BN) menang di semua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen pada PRU 13 nanti,” katanya.

Dato’ Haji Abdul Rahman berkata, tidak ada gunanya lagi rakyat negeri ini menyokong Pas atau PKR kerana parti-parti tersebut tidak mampu mengambil alih tugas yang telah dilakukan Umno dan BN.

“Oleh itu, pengundi di negeri ini perlu bulatkan hati dan tidak membuat pilihan lain melainkan calon-calon BN bagi semua kerusi DUN dan Parlimen di negeri ini,” katanya.