Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra.
Gambar oleh Zulkipli Putra.
Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan mewujudkan lebih banyak kelas bimbingan Saudara Kita (SK) khusus dalam bahasa asing seperti Thailand dan Kemboja berikutan bilangan saudara muslim dari negara berkenaan agak ramai di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Wan Sulaiman berkata, setakat ini terdapat sebuah kelas bahasa Thailand di Kompleks Darul Hidayah di bawah bimbingan seorang muslim warga Thailand.
“Kita yakin dengan menggunakan bahasa ibunda mereka, penyampaian dakwah dapat difahami dengan lebih berkesan,” katanya.
Katanya, Maidam telah menaja beberapa tenaga pengajar dari negara Thailand termasuklah yang berkelulusan Institusi Dakwah Islamiyyah Perkim, Pengkalan Chepa, Kelantan.
“Kita berhasrat membuat tajaan penuh kepada SK atau keluarganya yang cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaram Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajar keperingkat lebih tinggi dalam bidang agama,” katanya.
Tambahnya, usaha ini bagi melahirkan pendakwah kalangan saudara baru yang boleh jadi pembimbing pada masa akan datang.
Selain itu katanya, tajaan dalam bidang kritikal juga akan diutamakan dengan harapan mereka yang berjaya dapat menjadi idola dan perangsang kepada masyarakat.
“Kita juga bersedia menaja dalam bidang lain selain pengajian Islam termasuk bidang kemahiran seperti kulinari, teknikal dan sebagainya,” katanya.