Halaman

17 June 2012

148 bakal sertai PGM Terengganu Master 2012

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra.

Kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Golf Terengganu akan menganjurkan Kejohanan Golf `PGM Terengganu Master 2012 bertempat di lapangan Awana Kijal Golf Beach & Spa Resort, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata kejohanan yang berlangsung selama enam hari dan bermula 23 Jun itu bakal disertai 148 peserta dari 23 negara.

Antara negara yang bakal menyertainya, termasuk Afrika, Australia, Thailand, Filipina, Indonesia, Taiwan, Brunei, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea, India dan Burma.

Katanya, semua peserta yang sudah mendaftarkan diri itu adalah dikalangan pemain-pemain terbaik dan professional.

“Kejohanan tersebut merupakan antara usaha kerajaan Terengganu untuk menarik minat pengunjung tempatan dan luar negara.

“Pihak kami percaya melalui pendekatan seumpama ini, konsep sukan melalui pelancongan mampu dijayakan, seterusnya mencapai hasrat Tahun Melawat Terengganu 2013,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri yang menyumbangkan RM300,000 berusaha menjadikan PGM Terengganu Master sebagai acara tahunan yang berprestij dan terkenal di kalangan peminat golf tempatan dan luar negara.

“Pendekatan ini secara tidak langsung dapat menarik minat pelbagai pihak menganjurkan lebih banyak acara seupama ini,” katanya.

“Setiap peserta yang mengunjungi Terengganu bukan sahaja mampu memperkenalkan pelbagai destinasi menarik seperti pantai dan pulau malah mampu membantu peniaga mempromosi produk masing-masing,” katanya