Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra
Di sebalik kegembiraan 81 penerima bantuan Akhiri Zaman Miskin (1Azam) kelibat seorang ibu yang asyik menggunakan bahasa isyarat ketika berkomunikasi dengan tiga anak di sisi mencuri tumpuan.
Gambar oleh Zulkipli Putra
Di sebalik kegembiraan 81 penerima bantuan Akhiri Zaman Miskin (1Azam) kelibat seorang ibu yang asyik menggunakan bahasa isyarat ketika berkomunikasi dengan tiga anak di sisi mencuri tumpuan.
Penerima orang kurang upaya (OKU) berkenaan, Wan Hasmadiwati Wan Deraman, 35, dari Kampung Atas Tol, Kuala Terengganu yang cacat pendengaran merupakan penerima pakej lily berupa peralatan menjahit disalurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sempena program Karisma Selendang Biru, Semarak Kasih, di Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam (16 Jun).
Wan Hasmadiwati yang ditemani anak kedua, Wan Noranisulaikha Wan Aizi, 14, selaku jurucakap bagi ibunya itu, begitu teruja apabila mendapat perkakas menjahit selepas hampir setahun memohonnya daripada kerajaan.
“Emak sangat gembira dapat bantuan ini. Mesin jahit ini akan digunakan untuk menambah pendapatan keluarga dan membantu bapa saya, sementara emak menjalankan kerja di rumah.,” kata Wan Noranizulaikha.
Selain Wan Hasmadiwati, turut ceria dengan bantuan kerajaan itu, Fatimah Awang, 50, dari Kampung Gong Kijang, Kuala Terengganu penerima pakej anggerik yang bakal mengusahakan kedai makan.
Fatimah bersyukur dengan bantuan yang dipohon sejak setahun lalu akhirnya membuahkan hasil dan berharap kemudahan itu dapat digunakan secepat mungkin bagi membantu
meningkatkan pendapatan keluarga, selain membawa keluarga keluar dari paras kemiskinan.
“Saya gembira dan bersyukur. Alhamdulillah dengan bantuan perkakas untuk membuka kedai makan ini, saya harap selepas ini rezeki keluarga akan lebih bertambah dan kehidupan lebih baik serta selesa lagi,” katanya.
Bantuan 1Azam yang juga dikenali sebagai Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Karis1sma) terbahagi kepada sepuluh pakej bernilai antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap pakej.
Antara pakej berkenaan adalah pakej Melur bagi mengusahakan perniagaan makanan sejuk beku, pakej Kemboja bagi menjalankan gerai buah, pakej cempaka bagi menjalankan perniagaan pembuatan kuih-muih, pakej kenanga bagi mengusahakan kedai gunting rambut, pakej kekwa bagi menjalankan perkhidmatan spa secara mobil dan pakej teratai bagi membuka kedai andaman pengantin.
Selain itu, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM707.6 juta untuk melaksanakan program bantuan 1Azam sejak ia diperkenalkan tahun lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata bagi tempoh tersebut, kerajaan telah membantu sebanyak 80,957 peserta yang menyertai program itu di seluruh negara.
Katanya, kerajaan komited dan prihatin untuk memberi bantuan kepada golongan tidak berkemampuan supaya mereka dapat berdikari dan keluar daripada garis kemiskinan dengan memperoleh pendapatan sendiri.
"Jumlah RM707.6 juta adalah besar dan ini menunjukkan bahawa kerajaan prihatin untuk membantu rakyat keluar daripada garis kemiskinan di setiap negeri termasuk di Sabah dan Sarawak.
"Matlamat kita ialah mahu setiap peserta dapat meningkatkan pendapatan dan menghapuskan kemiskinan,” katanya.