Halaman

20 June 2012

Jentera Umno dan BN siap sedia

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) siap siaga bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Pengerusi Biro Penerangan Umno Negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya sudah selesai mengatur pelbagai strategi bagi menghadapi tentangan parti lawan selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita sudah bersiap sedia di semua peringkat merangkumi peti undi, DUN dan Bahagian-Bahagian di seluruh negeri,” katanya ketika ditanya mengenai persiapan jentera Umno dan BN bagi menghadapi PRU 13.

Beliau berkata, pihaknya telah menyenaraikan penceramah-penceramah terdiri daripada penceramah tempatan dan luar untuk berkempen sepanjang proses PRU 13 nanti.

“Kita menyerahkan kepada peti undi dan DUN untuk memilih penceramah, tetapi pihak kami sedia membantu dari setiap aspek bagi memastikan kempen pilihan raya berjalan lancar,” katanya.

YB Haji Ahmad Razif berkata, Biro Penerangan telah pun memohon bajet pilihan raya dan ia akan diagihkan kepada setiap peti undi, DUN dan Parlimen bagi menggerakkan jentera kempen parti.

“Pihak kami merancang mengadakan ceramah perongkat peti undi secara serentak dalam tempoh terdekat ini bagi menyampaikan maklumat terkini dan penerangan isu-isu semasa kepada rakyat,” katanya.

Beliau berharap dengan perancangan yang rapi jentera Umno dan BN akan berjalan lancar, sekaligus memastikan BN terus memegang tampuk pemerintahan negeri ini pada PRU 13 nanti.

“Kita mengharapkan semua pihak bekerja keras mulai sekarang dan tidak menunggu pembubaran DUN dan Parlimen untuk berkempen,” tambahnya.