Oleh: Aida Abd Rahman
Usahawan di negeri ini dikenalpasti sebagai peminjam paling berdisiplin dalam aspek bayaran balik pinjaman berikutan mampu melunaskan pembiayaan mengikut tempoh ditetapkan berdasarkan penilaian beberapa agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan itu.Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata peminjam dari negeri ini yang gagal membayar balik pinjaman kepada agensi seperti Tekun Nasional (Tekun), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) amat kecil.
Menurutnya, hanya 20 peratus peminjam di YPU yang gagal menjelaskan pinjaman itu, manakala daripada setiap sepuluh peminjam Tekun, hanya tiga daripadanya gagal membayar balik yang mungkin berpunca daripada perniagaan yang merudum dan tidak berkembang.
Sementara Mara pula mencatatkan 25 peratus gagal menjelaskan pinjaman perniagaan menerusi pelbagai skim yang disediakan , selain 0.01 peratus sahaja yang tidak melunaskan pinjaman berkontrak.
“Bagi pinjaman Tekun pula, usahawan yang meminjam menerusi Tekun kebanyakannya kaum wanita dan sikap wanita lazimnya sentiasa beringat dan berdisiplin untuk membayar balik pinjaman yang dibuat mereka berbanding lelaki.
“Sama juga seperti pinjaman disediakan menerusi YPK, sebanyak 80 peratus berjaya membayar balik dan mengubah hidup mereka. Sementara 20 peratus lagi semakin susah akibat gagal mengurus dan bertindak menjual peralatan perniagaan, pada masa yang sama meminjam pula dengan along,” katanya di sidang akhbar sempena Himpunan Usahawan Terengganu 2012 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (21 Jun).
Menteri Besar berkata, sehingga kini, Mara mengeluarkan pinjaman RM440 juta kepada 5,435 usahawan Terengganu termasuk RM21 juta dikeluarkan Januari hingga Jun tahun ini yang melibatkan 673 peminjam keseluruhannya.
Katanya, Tekun pula melibatkan RM27077,500 dengan 24,500 peminjam dari Terengganu dengan negeri ini merekodkan jumlah peminjam tertinggi serta jumlah peruntukan kedua tertinggi selepas Selangor.
Menerui YPU, sebanyak RM13.166 juta dikeluarkan melalui Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu atau T’Fund kepada 1,795 usahawan Terengganu pada tahun lalu, manakala Januari hingga Mei tahun ini melibatkan peruntukan RM268,500.
YPK pula mengeluarkan pinjaman sebanyak RM19,110,100 kepada 4,803 kepada peserta menerusi program Jaya Diri YPKT.
Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kerajaan menyediakan banyak peluang dan kemudahan pinjaman perniagaan kepada rakyat supaya dimanfaatkan sebaik mungkin bagi mengubah taraf hidup masing-masing.
“Ramai di kalangan usahawan berjaya kerana bantuan dan bimbingan yang dibuat oleh kerajaan, tetapi pada masa yang sama, ramai mengalami kegagalan di separuh jalan disebabkan sikap, disiplin dan kesilapan pengurusan perniagaan masing-masing.
“Jika orang lain boleh berjaya dengan pinjaman Mara, Tekun dan YPU, kenapa kita gagal? Kita kena tanya dengan diri kita sendiri kerana setiap kali mahu melibatkan diri dalam perniagaan kita perlu ada perancangan dan disiplin,” katanya.
Katanya, rakyat yang miskin harta dan tidak miskin minda pasti boleh mengubah taraf hidup, bagaimanapun seringkali menjadi masalah apabila terdapat mereka yang miskin minda sehingga sanggup menjual bantuan peralatan perniagaan yang disediakan kerajaan semata-mata untuk mendapatkan wang tunai dengan jalan yang mudah.