Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) sedia memberi bantuan kewangan kepada pelajar cemerlang yang bakal melanjutkan pelajaran ke program matrikulasi atau institut pengajian tinggi awam (IPTA) melalui Tabung Latihan Puspanita yang diwujudkan.
Pengerusi Puspanita, To' Puan Rohani Abdullah berkata, bantuan kewangan tersebut adalah daripada Puspanita Kebangsaan dan kepada sesiapa yang berminat dan layak, boleh memohon melalui Puspanita Negeri.
Menurutnya, bagaimanapun ia hanya diberikan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA atau program matrikulasi sahaja.
“Pada tahun ini seramai sembilan pelajar cemerlang di negeri ini layak menerima bantuan kewangan tersebut bagi melanjutkan pelajaran ke program matrikulasi dan IPTA.
“Saya yakin dan percaya dengan insentif sedemikian akan dapat membantu pelajar tersebut sekali gus memberi motivasi untuk terus cemerlang dalam bidang pendidikan,” katanya.
Menurutnya, bantuan berjumlah RM500 diberikan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke matrikulasi.
Manakala pelajar yang melanjutkan pelajaran ke program peringkat ijazah pula diberikan sebanyak RM800 hingga RM1,500 bergantung kepada latar belakang keluarga mereka.
Katanya, bantuan kewangan ini diberikan pada setiap tahun bagi meringankan beban keluarga terutama kepada mereka yang kurang kemampuan.