Halaman

22 June 2012

Jejambat Sungai Limbong jangka selesai kesesakan trafik

Oleh: Aida Abd Rahman
Kesesakan aliran trafik di Bandar Chukai atau `Yellow Town’ yang menjadi lokasi tumpuan ramai dijangka dapat diselesaikan dengan siapnya projek pembinaan Jejambat Sungai Limbong, tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera, berkata jejambat yang bernilai lebih RM3 juta dibina merentasi Sungai Limbong menghubungkan antara Yellow Town dengan Jalan Abdul Rahman dijangka akan memberi kemudahan kepada orang ramai apabila dibuka dalam tempoh terdekat.

“Sehingga kini, kontraktor sedang menyiapkan kerja-kerja akhir jejambat yang dihias indah dengan lampu serta dilengkapi dua pintu gerbang itu. Kemudahan itu akan menjadi ikon baru kepada Bandar Chukai.

“Pada masa yang sama, kemudahan yang disediakan Kerajaan Barisan Nasional ini mengutamakan kepentingan rakyat bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas yang berlarutan sejak dulu lagi,” katanya.

Dato' Mohamed berkata, projek yang mula dibina dua bulan lalu sebagai langkah melancarkan aliran trafik sebagai kemudahan orang ramai dan peniaga serta pengunjung dari luar Kemaman yang datang ke pusat bandar untuk menyelesaikan pelbagai urusan.

Selain itu juga, kawasan sekitar jejambat itu juga dilengkapi dengan kemudahan gerai niaga yang turut membuka peluang perniagaan kepada penduduk sekitar Chukai selain turut menjadi tarikan baru pengunjung.