Pendedahan demi pendedahan mengenai kekayaan dan harta yang dikumpul para pemimpin parti pembangkang, sejak kebelakangan ini amat mengejutkan masyarakat negara ini.
Hakikatnya, itulah kerja sebenar pemimpin parti pembangkang selama ini – mengumpul kekayaan – untuk kepentingan diri mereka dan keluarga dan pada masa yang sama gila dan tamak kuasa.
Mereka sanggup melakukan apa saja, bermula dari rasuah, melakukan penyelewengan hinggakan mendapatkan dana dari sember-sumber yang tidak halal, bagi mencapai cita-cita politik mereka.
Banyak maklumat yang diterima, pemimpin pembangkang mendapat sumber dana dari pihak luar yang mahu melihat kehancuran negara Malaysia yang tercinta.
Bahkan, pemimpin pembangkang sanggup menimbulkan suasana huru hara dan keadaan politik tidak stabil dalam negara bagi mendapatkan dana dari luar yang sudah tentu musuh kita semua.
Cuba bayangkan, seorang pemimpin pembangkang boleh mengawal harta yang berjumlah RM3 bilion sejak lebih 10 tahun lalu.
Manakala orang kanan pemimpin pembangkang itu pula mengumpul harta yang jumlahnya berpuluh-puluh juta ringgit ketika dia masih berada dalam kerajaan.
Dari mana mereka mendapat kekayaan luar biasa ini? Itu persoalan yang perlu kita fikirkan bersama.
Ini belum lagi mereka menjadi pemerintah negara ini. Jika pemimpin pembangkang membentuk kerajaan dan mengawal semua projek kerajaan, kita tidak dapat bayangkan apa yang akan terjadi kepada tanah air tercinta ini.
Sudah pasti pemimpin berkenaan akan menjadi kaya raya manakala rakyat menderita. Lebih malang lagi, masyarakat Melayu akan hilang kuasa di bawah pakatan pembangkang yang diterajui oleh DAP.
Di mana letaknya maruah orang Melayu dan umat Islam jika DAP menerajui pemerintahan negara ini?
Itu antara fakta yang perlu kita fikirkan bersama sebelum memberi sokongan kepada Pas, Parti Keadilan Rakyat dan semua parti pembangkang.