Halaman

23 June 2012

Kembalikan semula wang rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim perlu memulangkan semula wang rakyat berjumlah RM3 bilion jika beliau enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Dato’ Abdul Murad Khalid, yang mengesahkannya mengawal 20 akaun induk melibatkan wang tersebut.

Sebelum ini, Dato’ Murad mengesahkan membuat akuan bersumpah mengenai akuan RM3 bilion yang beliau percaya melibatkan Anwar pada tahun 1999.

Bekas pegawai kanan Bank Pusat itu juga turut mendakwa 13 tahun lalu Anwar menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan bagi memenuhi impian politiknya.

Berdasarkan laporan terbaru pula, pihak berkuasa menemui bukti baru dalam siasatan mereka yang mengaitkan ketua pembangkang itu dengan pemilikan berpuluh hartanah di seluruh negara.

Seperti biasa, terutama yang melibatkan skandal seks sebelum ini, Anwar hanya menafikan tuduhan tersebut melalui pentas-pentas ceramah dan laporan menerusi blog pro-pembangkang.

Ketua pembangkang itu tidak menggunakan saluran undang-undang terhadap individu yang mendedahkan penyelewengan demi penyelewengan yang dilakukan oleh beliau selama ini.

Dek kerana Anwar tidak berani menggunakan saluran undang-undang bagi membersihkan namanya, pelbagai pihak menyeru pemimpin pembangkang itu memulangkan kembali wang RM3 bilion itu kepada rakyat negara ini kerana ia dimiliki secara tidak sah.

Mereka juga meminta pihak berkuasa menyiasat 20 akuan induk berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang terlibat, demi kepentingan rakyat negara ini.

Rakyat negara ini tidak mahu ada pihak yang memiliki kekayaan terlampau dengan cara yang tidak sah, apatah lagi jika wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan negara.