Kemudahan kaunter bergerak bagi perkhidmatan pertanyaan zakat, taksiran dan bayaran zakat secara terus (tunai dan cek) yang disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan itu di negeri ini.
Kaunter bergerak itu telah diubah suai serta dilengkapi dengan peralatan yang sesuai mengikut keperluan untuk tujuan operasinya untuk mengutip zakat dari satu tempat ke satu tempat di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Harujan Sulaiman berkata, sebuah van bernilai kira-kira RM180,000 itu diselia oleh beberapa kakitangan Maidam bagi melicikan pelbagai urusan berkaitan zakat.
“Di kaunter itu, kita turut menyediakan pelbagai risalah berkaitan pbayaran zakat kerana Maidam sedar masih ramai di antara kita terutama golongan muda yang tidak faham sepenuhnya tentang perkara itu.
“Hasrat kita, kaunter itu bukan sekadar untuk bayaran zakat, malah ia mampu menjawab beberapa keraguan berkaitan hukum Islam itu. Kita turut paparkan tayangan video untuk tujuan itu,” katanya kepada Teganukita.
Terbaru kata Wan Harujan, kaunter bergerak itu akan berada di Dewan Sivik Felda Kertih 6, Kemaman esok (20 Jun) bermula 9 pagi hingga 5 petang.
Katanya, kaunter itu turut berada di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bermula 17 Jun lalu hingga 2 Julai sempena kursus Haji.
“Maidam turut menempatkan kaunter berkenaan pada program dan aktiviti yang melibatkan penyertaan masyarakat yang besar seperti pekan budaya, karnival rakyat dan ekspo niaga,” jelas beliau.
Mana-mana pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan itu, bolehlah memuat turun borang permohonan itu di laman sesawang, www.maidam.gov.my. Borang yang lengkap diisi hendaklah difaks ke Seksyen Zakat MAIDAM di talian 09-6247917.