Halaman

01 July 2010

Lima portfolio Exco Terengganu bertukar

Oleh : ESAH BINTI ABDULLAH

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said mengumumkan pertukaran lima portfolio Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu yang akan berkuatkuasa 1 Julai 2010.

Pertukaran portfolio berkenaan membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri yang akan disandang oleh YB Datuk Za’abar Mohd Adib, menggantikan YB Yahya Khatib Mohamad.


Lima exco Terengganu bertukar portfolio iaitu (atas dari kiri) YB Datuk Rahin, YB Asha'ari dan YB Yahya Khatib manakala (gambar bawah dari kiri) YB Rozi dan YB Datuk Za'abar.

Manakala tempat YB Datuk Za’abar diisi oleh YB Datuk Abdul Rahin Mohd Said yang menyandang Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani diambil alih YB Asha’ari Idris dan YB Rozi Mamat pula ke Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri menggantikan Datuk Abdul Rahin.

YB Yahya Khatib Mohamad pula berpindah ke Portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri menggantikan tempat YB Asha’ari Idris.

Dato’ Ahmad berkata pertukaran ini bertujuan memantapkan lagi jentera eksekutif dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tiada sebarang pengguguran exco sedia ada.

“Pertukaran ini juga merupakan proses biasa yang berterusan kepada barisan exco kerajaan negeri di samping dapat memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada mereka,” katanya.

Dato’ Ahmad melahirkan keyakinan, penyusunan semula barisan Exco ini dapat memain peranan yang lebih berkesan dalam usaha kerajaan negeri untuk Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan.


TEGANUKITA