Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu terpilih selaku hos bagi Pertandingan Robocon Peringkat Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pada 12 hingga 17 Julai ini.
Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan Sirim bertemakan ` In Pursuit of Peace and Prosperity’ (Peng On Dai Gat) bakal disertai 64 pasukan yang terdiri daripada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Inovasi Khas), Encik Fadli Yusof Zakaria, berkata penganjur mensasarkan program kali ini bakal dikunjungi 10,000 pelawat dari seluruh Malaysia.
Katanya, acara bermula dengan pendaftaran dan sesi ujian pada 12 Julai, manakala hari berikutnya pada 14 Julai hingga 16 Julai dijalankan proses saringan, sebelum pertandingan akhir dan penutup pada keesokannya (17 Julai).
“Pertandingan robot yang mula dilaksanakan sejak 10 tahun lalu itu disasarkan untuk pelajar mahasiswa institusi pengajian tinggi di rantau Asia Pasifik bertujuan mewujudkan persahabatan di kalangan golongan muda yang mempunyai minat yang sama dalam meningkatkan daya kreativiti terhadap bidang Sains dan teknologi.
“Ia juga membantu menjana minda kreatif dan inovatif, selain meningkatkan kejuruteraan awal dan teknologi penyiaran di rantau ini,” katanya.
Beliau berkata, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka bakal merasmikan program penutup serta penyampaian hadiah pertandingan itu nanti.
Menurutnya, pemenang peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong, selaku hos buat kali-11 bagi pertandingan `ABU Asia-Pacific Robot Contest 2012’.