Halaman

13 June 2012

Taman Ilmu dijangka siap akhir tahun ini



Oleh: Mohammad Ishak

Kerajaan tidak menghadapi masalah dalam menyiapkan Taman Ilmu di Besut untuk dijadikan pusat pendidikan terbesar negeri ini kerana mempunyai kewangan yang mencukupi bagi melaksanakan projek itu.

Projek berharga RM360 juta di kawasan seluas 700 ekar itu berjalan lancar dan tidak menghadapi sebarang masalah untuk disiapkan.

Pengurus Binaan Kompleks itu,Mohd Azman Ismail berkata, semua kerja-kerja pembinaan komponen yang ada di kawasan kompleks berjalan lancar dan dijangka siap mengikut jadual.

Katanya, sehingga ini tahap pembinaan kompleks berkenaan sudah mencapai 85 peeratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, Taman Ilmu yang akan menempatkan kolej universiti dari dalam dan luar negara apabila siap sepenuhnya mampu menampung lebih 10,000 pelajar yang akan mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.

“Kerja pembinaan sedang giat dijalankan oleh kontraktor dan tidak timbul ia akan menjadi projek terbengkalai,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan Majlis Pelajaran Besut (MKPB) yang mengadakan lawatan ke kompleks itu semalam.

Rombongan diketuai Yang Dipertuanya, Yusoff Kasim bersama 40 ahli bertujuan mengetahui perkembangan terbaru mengenai pembinaan kompleks itu yang sebelum ini dikatakan terbengkalai pembinaannya.

Kompleks berkenaan dibina pada 2008 dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk masjid, dewan konvensyen, stadium sukan, menara, perpustakaan,pasar raya dan penginapan pelajar.

Kompleks Taman Ilmu terletak di persisiran pantai apabila siap akan menjadi pusat pendidikan terbesar di negeri ini dan melengkapkan usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai Anjung Ilmu.