Halaman

10 June 2012

Pemberian BR1M wajar diteruskan

Oleh: Suriati Ali

Pemberian Batuan 1Malaysia (BRIM) yang diperkenalkan menerusi Bajet 2012, perlu diteruskan buat kali kedua dengan jumlahnya dinaikkan, jika sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan, berkata pemberian BR1M wajar dilanjutkan kerana ianya cukup bermanfaat kepada rakyat, terutama mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, jika jumlah itu dinaikkan kepada RM550 atau sebagainya, ianya membuatkan rakyat lebih gembira.

“ Apa jua bentuk dan pemberian yang dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan menjadi kemestian kepada rakyat untuk berterima kasih dengan meneruskan sokongan terhadap kerajaan.

“Sebagai rakyat, kita perlu berbangga dengan keprihatinan kerajaan yang ada sekarang, semua yang dilakukan adalah untuk rakyat di samping mewujudkan negara yang aman makmur,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar menyiarkan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia yang diadakan di dewan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Perasmian penutup seminar yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa exco kerajaan negeri.

Kira-kira 2,500 peserta pelbagai peringkat, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru hadir bagi mendengar amanat ceramah dua tokoh berpengalaman.

Program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.

Dato’ Ahmad berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) berbakti kepada rakyat sejak sekian lama menerusi pelbagai pembangunan dan program yang diwujudkan.

“Kita yakin, kerajaan BN akan terus memberikan semua yang terbaik untuk rakyat selagi rakyat terus memberikan sokongan kepada kerajaan,” katanya.