Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Maslan memujikan pendekatan kerajaan Terengganu yang menyiarkan Seminar Pemahaman Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia secara langsung di webtv.terengganu.gov.my.
Dato’ Maslan,berkata negeri lain sepatutnya mencontohi Terengganu yang berjaya menyiarkan seminar seumpama ini ke seluruh dunia.
“Kemudahan dan teknologi yang ada perlu digunakan sebaik mungkin supaya segala maklumat dapat disalurkan secara terus kepada rakyat.
“Kehadiran peserta pada seminar ini turut memuaskan hati di mana Terengganu mencatatkan jumlah paling ramai iaitu melebihi 2,000 jika dibanding dengan enam negeri yang menganjurkan program sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan seminar itu yang diadakan di dewan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.
Perasmian penutup seminar yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said itu turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abd. Rahman.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa exco kerajaan negeri.
Kira-kira 2,500 peserta pelbagai peringkat, termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan, belia dan guru hadir bagi mendengar amanat ceramah dua tokoh berpengalaman.
Program itu sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kelantan.