Halaman

13 June 2012

Maidam raih untung tujuh kali ganda hasil perladangan TDM

Oleh: Aida Abd Rahman

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) meraih keuntungan yang meningkat tujuh kali ganda berjumlah RM932,568 pada tahun lalu, berbanding RM136,553 tahun sebelumnya hasil perladangan kelapa sawit yang diuruskan Terengganu Development Management (TDM) sejak 1997.

Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Haji Wan Harujan Sulaiman, berkata pendapatan berkenaan digunakan bagi pelaburan hartanah menerusi pembelian aset dan pembinaan premis perniagaan sebagai manfaat umat Islam di negeri ini termasuk membiayai program membantu golongan miskin, asnaf dan menaja pelajar melanjutkan pengajian dalam dan luar negara.

“Maidam dikurniakan tanah oleh kerajaan negeri di Mukim Kuala Jengai, Dungun seluas 1,300 hektar dan menerusi Fasa tanah seluas 670 hektar dimajukan TDM Berhad, manakala Fasa 2 sedang dalam proses kelulusan kerajaan negeri dan dijangka ditanam kelapa sawit mulai awal tahun depan.

“Fasa 1 dilaksanakan secara usahasama dengan TDM menerusi perjanjian ditandatangani pada 10 Mac 1997 dengan tempoh pajakan selama 30 tahun dan pilihan lanjutan 30 tahun lagi,” katanya sebagai menjawab soalan yang dikemukakan seorang individu menerusi kolum Suara Komuniti Berita Harian, hari ini.

Haji Wan Harujan berkata, keuntungan bersih hasil jualan kelapa sawit dibahagi mengikut pecahan dipersetujui iaitu 68 peratus untuk TDM, Maidam 32 peratus dan 10 peratus daripada keuntungan kasar setiap tahun diusahakan sebagai yuran TDM yang bertanggungjawab mengurus ladang itu.

Selain itu, Haji Wan Harujan berkata, Maidam menggunakan wang yang dikumpul daripada zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat fitrah dan lain-lain zakat yang diwajibkan ke atas setiap umat Islam yang layak membayarnya bagi membiayai program pembiayaan membantu fakir miskin, golongan asnaf dan fisabilillah.

Sehubungan itu, pada tahun lalu, Maidam memperolehi hasil kutipan zakat berjumlah RM86.4 juta melibatkan 23 peratus daripadanya zakat perniagaandan 21 peratus lagi zakat perniagan.

Sementara itu, beliau berkata Maidam mensasarkan kutipan zakat keseluruhan RM100 juta pada tahun ini.