Halaman

14 June 2012

Kerajaan cadang tambah perisian e-Book bagi Kelas Kafa

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra




Kerajaan negeri becadang untuk menambah beberapa mata pelajaran ke dalam sistem e-Book pelajar Tahun Empat dan Lima untuk kegunaan Kelas al-Quran dan Kelas Fardu Ain (Kafa).

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, cadangan itu akan dibincangkan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kerana Kafa berada di bawah pengurusan Kerajaan Pusat dan ia membabitkan kos tambahan bila ia dilaksanakan.


“Semua pelajar kelas Kafa tidak perlu dibekalkan dengan e-Book baru kerana semua sudah ada (kemudahan itu), cuma memerlukan beberapa tambahan ke dalam sistem buku digital itu,” katanya kepada pemberita di majlis Perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Guru Kafa Negeri Terengganu (Perkat) di Wisma Darul Iman hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Haji Alias Jaafar dan Timbalan Pengerusi Perkat, Ustaz Mohamad Husin.

Menteri Besar gembira kerana pelajar negeri ini telah mencatatkan kejayaan empat tahun berturut sebagai negeri terbaik seluruh negara pelajar paling ramai mendapat gred A dalam peperiksaan yang diadakan.

“ Tahun lepas seorang pelajar kita dari kelas Kafa di Setiu telah mendapat markah 799/800 dan muncul pelajar terbaik negara dalam peperiksaan Kafa,” katanya.


Katanya, kerajaan akan terus memperkasakan pengajian kelas Kafa dan bersedia memberi tambah nilai dar semasa ke semasa.

Kini terdapat 422 kelas Kafa di seluruh negeri dengan 3,258 tenaga pengajar serta 74,629 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan di balai-balai raya seluruh negeri.

Manakala tahun lalu seramai 20,133 pelajar kelas Kafa telah khatam al-Quran dan 3,200 daripadanya telah khatam menggunakan e-Book dan telah berjaya direkodkan dalam Malaysia Book Of Record.