Halaman

10 June 2012

Usahawan tani perlu berani melakukan perubahan-KSU

Oleh; Esah Abdullah

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meminta kumpulan usahawan pertanian dan asas tani mengubah cara berniaga yang lama kepada cara baru yang lebih moden dan komersial sejajar dengan keperluan ekonomi masa depan yang diterajui inovasi dan ilmu pengetahuan.

Ketua Setiausahanya, Dato; Mohd Hashim Abdullah berkata, Perindustrian Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi negara yang memain peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“Usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) pada masa ini masih berhadapan dengan cabaran kualiti produk yang rendah dan tidak seragam serta tidak mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya di majlis Pelancaran Testbed Mardi Terengganu di Stesen Mardi Kuala Terengganu.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Dato' Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman; Timbalan pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN, Haji Zulkifli Abu Bakar dan Pengarah Mardi Terengganu,Haji Hassan Said.

Oleh itu katanya, para usahawan perlu berani melakukan perubahan dan sentiasa bersedia merebut peluang yang disediakan kerajaan dalam mengembangkan perniagaan.

“Saya yakin adanya suntikan elemen inovasi dalam menjalankan sesuatu perusahaan, ia mampu menjanjikan transformasi yang cukup signifikan kepada para usahawan,” katanya.

Sehubungan itu katanya, peranan Mardi sangat penting serta berupaya membantu usahawan yang ingin membangunkan perniagaan mereka berasaskan teknologi.

Beliau berharap usahawan di negeri ini mengambil peluang dan datang ke Mardi untuk menjalani latihan menggunakan teknologi moden yang disediakan.

Katanya, usaha Mardi mengadakan sistem testbed seperti ini membolehkan usahawan mendapat perkhidmatan sokongan secara teknikal khususnya dalam penggunaan teknologi terkini termasuk mesin, peralatan dan kemudahan pengeluaran berskala kecil bagi pengeluaran produk makanan terpilih.