Yayasan Pelajaran Mara (YPM) memperuntukan hampir RM1 juta untuk melaksanakan Program Tranformasi Kecemerlangan Modal Insan (PTKMI) di seluruh negara tahun ini.
Ketua Seksyen Dana Pendidikan Pembangunan Modal Insan YPM, Encik Abdul Shukor Ibrahim berkata, jumlah dana tahun ini sedikit berkurang daripada tahun lalu tapi setiap negeri masih berpeluang untuk mendapat nikmat daripada program yang dijalankan bagi meningkatkan ilmu akademik para pelajar.
“Tahun lalu YPM memperuntukan RM2 juta untuk program yang sama membabitkan 100,000 pelajar dan tahun ini kira-kira 50,000 lagi akan mendapat manfaat berkenaan,” katanya kepada pemberita di majlis Penutup PTKMI Parlimen Kuala Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad , Kuala Terengganu hari ini (13 Jun).
Pengarah Pelajaran negeri, Encik Zakaria Husin melakukan perasmian penutup program. Hadir sama Setiausaha Agung Gagasan, Syed Anuar Syed Mohamad dan Pengetua SMK Sultan Ahmad, Hajah Wan Azizah Wan Mustapha.
Katanya, melalui dana ini YPM menyasarkan 100 program dapat dilaksanakan dan tumpuan kepada pelajar yang akan menduduki tiga peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Setiap program yang dijalankan seimbang antara akademik dan sahsiah serta berdasarkan permintaan pihak sekolah terhadap mana-mana mata pelajaran yang lemah di sekolah terbabit,” katanya.
Menurutnya, ada negeri memerlukan tumpuan kepada subjek matematik dan sejarah manakala negeri yang lain pula subjek bahasa Malaysia dan Inggeris.
“Melalui program sebegini pelajar akan didedahkan mengenai teknik belajar berkesan ke arah mempersiapkan diri mencipta kecemerlangan di samping dapat melahirkan golongan muda yang yakin kepada potensi diri dan melihat setiap halangan itu sebagai cabaran yang harus dirempuh,” katanya.