Barisan Nasional (BN) Terengganu akan mengerakkan seluruh jentera parti untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang kosong setelah penyandangnya Dr. A. Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lalu.
Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, ia lebih meyakinkan apabila Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bertindak selaku Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan dan Ketua UMNO Bahagian Besut Dato’ Seri Idris Jusoh selaku timbalannya.
“Saya yakin kedua-dua pemimpin itu akan meletakkan calon paling sesuai dan berkelayakan serta diterima pengundi untuk bertanding di DUN Kuala Besut nanti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kolej Tesdec dan UniKL di Wisma Darul Iman semalam.
Katanya, BN Terengganu akan bertindak sebagai jentera yang akan memastikan DUN Kuala Besut kekal di bawah BN dan yakin pengundi di kawasan berkenaan tetap memilih parti memerintah dalam PRK nanti.
Menjawab pertanyaan pemberita mengenai nama calon yang akan bertanding di DUN Kuala Besut Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar berkata, ia akan diputuskan oleh presiden parti dan tugas BN Terengganu akan memastikan Kuala Besut kekal di bawah BN.