Halaman

04 July 2013

Tesdec tawar diploma selepas capai kolaborasi dengan UniKL




Oleh; Esah Abdullah

Termeterainya dua MoA (Menandatangani Perjanjian) antara Kolej Tesdec Sdn Bhd. dan Universiti
Kuala Lumpur (UniKL) membuka langkah baru dengan menawarkan program Diploma of Engineering Technology (DET) Welding dan Automotif Maintenance di Tesdec sendiri.

Pengerusi Lembaga Pengarah Tesdec, YB Encik Mohd. Mahdi Musa berkata, langkah ini diambil kerana permintaan yang tinggi kalangan belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

“MoA pertama sebagai menyambung perjanjian yang pernah dibuat pada 2009 untuk Diploma Automotif Maintenance dan kedua diploma baru Welding,” katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Kolej Tesdec dan UniKL di Wisma Darul Iman semalam.

Katanya, pencapaian ini sangat besar bagi sebuah kolej ‘kecil’ dan anak-anak muda di sini berpeluang mendapat diploma dalam bidang teknikal daripada sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) teknikal ternama milik MARA iaitu UniKL melalui Tesdec.

“Saya harap pemegang diploma teknikal anugerah UniKL akan bertambah pada tahun-tahun akan datang demi memenuhi tuntutan industri dalam dan luar negara,” katanya



 Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said hadir selaku saksi MoA. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas, YB Ghazali Taib; Ketua Pegawai Eksekuti UniKL, Prof Dr Mazlihan Su’ud dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tesdec, Haji Che Razali Adis.

Katanya, melalui perjanjian (2008), kini seramai 143 pelajar berjaya mengikuti program Diploma of Engineering Technology in Automotive Maintenance dan 40 pelajar daripada tiga ambilan awal sudah tamat pengajian dan berada di pasaran dalam pelbagai jawatan.

Selain itu katanya, program diploma ini dan program Sijil sains sendiri sudah memperolehi akreditasi penuh daripada Malaysian Qualifications Agency (MQA) tahun lalu dan UniKL telah mengiktiraf sijil berkenaan sebagai salah satu kelayakan masuk ke program peringkat diploma di UniKL.

“Kejayaan itu sangat besar ertinya bagi Kolej Tesdec yang bagi saya masih kecil saiznya dan terima kasih kepada UniKL yang sanggup berkolaborasi dengan kita,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengharapkan sokongan daripada kerajaan negeri secara berterusan termasuk kewangan bagi melatih lebih ramai belia tempatan dalam bidang kemahiran yang ditawarkan.

Dari segi makro katanya, peruntukan RM1 juta setahun boleh mengeluarkan 30 orang pemegang diploma welding di samping peruntukan pembiayaan modal diperlukan kira-kira RM2.1 juta untuk mewujudkan tiga buah makmal pengujian bagi program ini.

Katanya, dari segi keluaran pada penghujung kursus selama tiga tahun, pelajar program ini akan beroleh diploma daripada UniKL dan sijil profesional yang dikeluarkan oleh badan profesional yang diakui di seluruh dunia untuk kerjaya dalam bidang yang diambil.